Sunday, August 17, 2008

Mat rempit belasah 4 polis

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh media massa merupakan punca dominan kepada masalah Mat Rempit yang semakin berleluasa pada masa kini. Pengaruh budaya luar yang diserap ke dalam media massa telah meracuni fikiran belia. Perbuatan tidak bermoral Mat Rempit seperti penagihan dadah, seks bebas, pengambilan alkohol. Jenayah ragut, dan sebagainya sebenarnya meniru budaya ‘Hell-Angel’ dari Amerika Syarikat. Budaya tersebut telah disanjungi oleh remaja kerana menganggap ilusi ‘cool’ mereka sebagai aktiviti menyeronok. Selain itu, filem-filem yang mengandungi unsur-unsur perlumbaan juga terus mempengaruhi minda remaja. Contohnya, filem-filem seperti ‘Tokyo Drift’, Fast And The Furious’, ‘Initial-D’, dan ‘Kuala Lumpur Menjerit’ telah mendorong golongan remaja mempelajari aksi-aski pelakon yang dianggap bergaya dalam filem-filem tersebut. Golongan Mat Rempit yang dipengaruhi oleh media massa pula ghairah mengubahsuaikan motosikal mereka seperti yang ditunjukkan dalam filem sehingga mengabaikan ciri-ciri keselamatan. Mereka juga bersikap memberontak dan sengaja tidak mahu memakai topi keledar semasa menunggang motosikal. Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakuan anak mereka juga mengakibatkan gejala Mat Rempit. Pada masa kini, sikap ibu bapa yang mementingkan aspek materialistik telah menyebabkan mereka begitu fanatik untuk mencari wang demi meningkatkan kehidupan mereka. Akibatnya, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa untuk mendidik anak mereka. Mereka tidak mengambl berat tentang keselamatan anak mereka dan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa berlesen. Situasi ini amat berbahaya kerana anak mereka yang tanpa lesen tidak mengetahui keselamatan dan kemungkinan besar terlibat dalam perlumbaan haram. Selain itu, mereka juga akan merayau-rayau di jalan raya. Mat rempit ini juga ibarat kutu rayau yang suka merayau dan mengganggu ketenteraman pada waktu malam. Tidak hairanlah anak-anak yang terbiar ini sanggup membelasah polis dan melakukan perbuatan terkutuk yang menyalahi undang-undang.

No comments: