Saturday, July 19, 2008

Perceraian bukan penamat kehidupan

PERCERAIAN yang berlaku selepas 13 tahun melayari rumah tangga bersama pilihan hati sendiri tidak pernah dikesalkan, sebaliknya Sharnas Razni menganggap ia satu penghijrahan bagi memperbaiki dan mendapatkan kehidupan tenang serta lebih baik.
Bersikap lebih terbuka mengenai statusnya, Sharnas berkata, dirinya berasa lebih bahagia selepas diceraikan sejak lapan tahun lalu berbanding ketika hidup sebumbung dengan bekas suami dan jika boleh mahu memadamkan segala kisah pahit dan penderitaan pernah dialami. Sharnas berkata, dirinya percaya seandainya kehidupan rumah tangga tidak bahagia bererti itu bukanlah jodoh dan ia sudah pun tentukan Tuhan, justeru jika ditakdirkan bercerai seharusnya tidak ditangisi apa yang berlaku. “Bercerai bukan sebab soal curang saja, tetapi ada banyak perkara lain. Dalam kes saya, memang saya yang minta dilepaskan kerana berasakan daripada hidup tidak bahagia, terseksa dan tertekan lebih baik kami berpisah. Saya minta berpisah kerana saya tahu hak saya sebagai wanita dan percaya Tuhan sentiasa bersama hamba-Nya yang teraniaya. “Lagi pun, perlu apa lagi kami bersama sedangkan kehidupan sekeluarga tidak pernah aman. Saya juga berpendapat, suasana seperti itu tidak sesuai untuk mendidik anak untuk berjaya kerana emosi mereka juga terganggu,” katanya. Ketika bercerai keluarga tidak tahu kerana dirinya tidak pernah berkongsi masalah rumah tangga dengan sesiapa sekalipun kepada ibu bapa. Sharnas lebih bersedia menanggung semuanya kerana bimbang jika berkongsi masalah, silap perhitungan dirinya pula dipersalahkan. Katanya, sebaik saja mereka bercerai bagaikan terlerai segala bebanan yang ditanggungnya selama ini. Tiada lagi perasaan takut dan sedih. Apa yang cuma difikirkannya ialah bangkit semula dengan kehidupan baru untuk diri sendiri dan juga anak. “Lepas bercerai kami langsung tidak berhubung dan saya sendiri tidak mahu ungkit kisah lalu. Mungkin ada wanita takut dengan status janda tetapi saya mengingatkan diri sendiri, itulah saya ketika itu. Kehidupan mesti diteruskan dan tidak perlu bersedih, malah kena buktikan kepada bekas suami dan masyarakat saya boleh hadapi cabaran serta dugaan. “Saya tekadkan dalam diri, status itu tidak boleh menjadi penghalang untuk berjaya. Lagi pun, saya bukanlah bodoh, saya ada pendidikan. Peduli apa orang hendak kata dan Alhamdulillah kerana ikhlas akhirnya, perniagaan yang saya bina berjaya berkembang meskipun sekali kala ada ujian lain menimpa termasuklah tiada pendapatan langsung dalam sebulan,” katanya. Sharnas juga bersyukur dirinya sudah pun membuktikan, walaupun bersendirian membesarkan anak, ketiga-tiga anak di bawahnya masing-masing sudah pun berjaya dan kini sedang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Soal hubungan anak dengan bekas suami, beliau tidak pernah menghalang, terpulang kepada mereka kerana sudah tersurat sampai akhirat itulah bapa kandung mereka. Ditanya mengenai perkahwinan kedua, Sharnas berkata kehancuran rumah tangga tidak pernah membuatkannya rasa serik untuk membina sebuah keluarga baru. Justeru, jika ada jodoh suatu masa kelak beliau tidak akan menolaknya.

2 comments:

d"ny said...

Perceraian pada masa kini mungkin dilihat fenomena biasa dan dikatakan semakin meningkat di negara yang banyak perubahan dari segi ekonomi dan sosial. Jika dulu ini banyak berlaku di negara maju, tetapi Malaysia yang ke arah sama tidak dapat lari daripada fenomena ini.Bagaimanapun, bezanya di Barat, wanita melihat perceraian sebagai jalan terbaik untuk keluar daripada kemelut rumah tangga kerana mereka berfikiran moden dan sekular. Di Asia termasuk Malaysia, perkahwinan masih konservatif, malah menganggap ia adalah ikatan murni dan bukan boleh dileraikan sebarangan.
Justeru, apabila berlaku perceraian sering kali meninggalkan kesan mendalam. Kajian pernah dibuat mendapati, wanita yang bercerai menghadapi banyak tekanan. Ini berikutan, mereka ditohmah kerana masih ada masyarakat berprasangka buruk terhadap wanita yang bergelar janda. Wanita yang berstatus itu bukan saja berdepan dengan masalah tekanan perasaan, tetapi ditimpa kemelut kesihatan, kewangan, perhubungan, bebanan dwiperanan dan perlakuan anak. Hakikatnya, kehidupan sebagai janda atau lebih lunak disebut, ibu tunggal sememangnya banyak dugaan dan tidak lepas daripada mendepani masalah. Namun, biar apa pun cabaran yang dilalui kehidupan perlu diteruskan dan anggaplah peristiwa sebegitu sebagai jalur kehidupan serta harus dihadapi dengan berjaya tanpa menjerat diri mahupun anak.

aiShaH said...

Masalahnya mentaliti rakyat kita asyik memandang buruk kepada mereka yang memegang satus 'J' ni